Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia, Indonesia bina ekosistem ekonomi halal

    KUALA LUMPUR, 17 JAN – Malaysia dan Indonesia harus membina ekosistem ekonomi halal untuk menjadi peneraju global selain daripada fokus kepada penyeragaman sijil halal.

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata memandangkan Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia manakala Malaysia pula majoriti penduduknya beragama Islam, justeru kedua-dua negara harus menerajui dan menjadi pemain utama dalam industri halal global selain daripada negara majoriti penduduknya bukan beragama Islam seperti seperti Thailand, Brazil dan Australia.

    “Saya percaya kita (Malaysia dan Indonesia) boleh bekerjasama berganding bahu untuk membangun dan memanfaatkan potensi besar ini dalam ekonomi halal.

    “Selain itu, saya juga berharap kita dapat mengenal pasti bidang kerjasama masing-masing supaya mendapat manfaat daripada industri halal ini,” katanya dalam ucapan khasnya pada Forum Halal Malaysia-Indonesia dan Libat Urus Industri 2023 yang julung kali diadakan di sini, hari ini.

    Hermono berharap forum itu akan memperoleh beberapa kerjasama konkrit melangkaui penyeragaman sijil halal dan membincangkan cara membangunkan ekosistem ekonomi halal global.

    “Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Indonesia baru-baru ini mengenai keselamatan makanan akan memberi manfaat dan menyumbang kepada ekonomi dan industri Islam dengan mengambil kira tenaga kerja dan simpanan tanah Indonesia yang besar serta pengalaman luas Malaysia dalam industri halal,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda