Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia, Indonesia meterai MoU PDI

    JAKARTA, 1 APRIL – Malaysia dan Indonesia hari ini memeterai memorandum persefahaman bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (MoU PDI) di Malaysia.

    Pemeteraian MoU itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Merdeka di sini.

    Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mewakili Malaysia dan Indonesia diwakili Menteri Ketenagakerjaan Ida Fauziyah.

    Ismail Sabri pada sidang media bersama Joko Widodo selepas menyaksikan majlis itu berkata MoU itu akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak-pihak yang berkaitan, mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara.

    “Saluran kemasukan tunggal bagi PDI ke Malaysia dipersetujui dengan hanya menggunakan sistem saluran tunggal seperti yang terkandung dalam MoU bagi menyaring hanya majikan yang layak untuk menggajikan PDI,” katanya.

    Dalam menjaga kebajikan pekerja domestik dari sudut perlindungan sosial, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan jaminan bayaran gaji melalui e-Wages iaitu bagi menjamin pembayaran gaji tidak lewat daripada hari ketujuh setiap bulan.

    Cuti rehat sehari seminggu dan aplikasi e-aduan yang membolehkan pekerja membuat sebarang aduan secara dalam talian diperkenalkan serta lain-lain kebajikan yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan. – Bernama

    Gambar serahan Istana Presiden Indonesia menunjukkan Ismail Sabri Yaakob (kiri) berucap manakala Presiden Joko Widodo memerhati semasa sidang media selepas mesyuarat mereka di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda