KUALA LUMPUR, 27 JAN – Malaysia dan Indonesia terus komited untuk memastikan kerjasama berterusan antara syarikat minyak dan gas nasional kedua-dua negara iaitu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PT Pertamina (Persero) dari Indonesia.
“Komitmen kita (adalah) untuk memastikan kerjasama Petronas dan Pertamina, dua syarikat kepimpinan gergasi di rantau ini supaya lebih mempunyai kesepakatan untuk meneroka, mengalu-alukan haluan baru dan juga bidang perniagaan baharu,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama-sama Presiden Indonesia Prabowo Subianto bersempena Lawatan Negara pertama Presiden tersebut ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Anwar dan Prabowo menyaksikan pemeteraian dua surat hasrat (LOI) antara Axiata Group Bhd dan Sinar Mas yang berpangkalan di Indonesia untuk meneroka dan memajukan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat.
Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, Axiata dan Sinar Mas berkata LOI pertama itu menyediakan asas kukuh untuk menggerakkan perbincangan terperinci menggariskan projek dan inisiatif khusus yang memacu kerjasama selanjutnya berhubung potensi sinergi di Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara. “Memanfaatkan ekosistem telekomunikasi masing-masing, Axiata dan Sinar Mas menyasar untuk meneroka peluang menyediakan nilai bagi pemegang kepentingan dalam beberapa bidang pertumbuhan tinggi, termasuk penyelesaian 5G canggih, perkhidmatan perusahaan, infrastruktur digital dan inovasi teknologi kewangan (fintech),” kata kenyataan itu. – Bernama