Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Malaysia, Indonesia perkukuh hubungan dua hala

    JAKARTA, 29 MEI – Kedutaan Besar Malaysia menganjurkan program ‘Temu Duta Besar’ pada Selasa malam dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dan mempromosi budaya Malaysia kepada mahasiswa dan pensyarah universiti di Indonesia.

    Program di Dewan Serba Guna kedutaan bermula sejurus ketibaan Duta Besar Malaysia, Datuk Syed Mohd Hasrin Tengku Hussin diikuti nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Indonesia serta doa memohon keamanan dan kemakmuran bersama.

    Alunan muzik mengiringi persembahan tarian tradisional zapin, sekali gus memupuk rasa perpaduan serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, di acara yang turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datuk Nur Izzah Wong Mee Choo.

    Tetamu diajak menonton demonstrasi masakan, char kuey teow, roti canai dan teh tarik, sebelum menikmati juadah istimewa pelbagai rasa dan aroma seperti nasi kandar, nasi lemak, cendol dan kuih-muih tradisional.

    Sesi interaktif dengan duta besar dikendalikan Setiausaha Pertama (Pendidikan), Zulfadhli Hamzah menjadi dialog mengenai masa depan hubungan dua hala dan peluang kerjasama.

    Gambar Envato

    Topik yang disentuh merangkumi bidang pendidikan, pelancongan, pelaburan dan perdagangan serta isu antarabangsa membabitkan kepentingan bersama, peranan generasi muda dan pengaruh media sosial.

    Syed Mohd Hasrin menjelaskan kepentingan kerjasama dua hala seperti memberikan tekanan dalam memerangi lobi antiminyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), isu Islamophobia dan Palestin dalam konteks Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melalui jalur undang-undang dan usaha diplomatik.

    “Kerjasama seperti ini meningkatkan pengaruh dan suara kedua-dua negara di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan EU,” katanya pada sesi soal jawab.

    Menyentuh insiden maklumat salah membabitkan kedua-dua negara di media sosial, beliau percaya pengguna perlu melakukan penilaian kritikal terhadap kandungan untuk mengesahkan kesahihan dan konteks maklumat sebelum menerimanya sebagai kebenaran dan berkongsi kepada pengguna lain.

    “Penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dapat membantu mencegah penyebaran khabar angin dan mengekalkan keharmonian,” katanya, sambil merujuk dua insiden yang pengguna media sosial dari Malaysia dan Indonesia memuat naik kandu-ngan yang mencetuskan kontroversi warganet baru-baru ini.

    Mengenai peranan ASEAN dalam memastikan kestabilan rantau, Nur Izzah berkata: “Walaupun terdapat konflik dalaman dalam setiap negara ASEAN, telah berjaya mencegah peperangan antara negara anggota sejak penubuhannya.

    “Kestabilan ini adalah bukti usaha diplomasi dan penyelesaian konflik ASEAN yang berkesan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...