JAKARTA, 18 JULAI – Malaysia dan Indonesia hari ini meningkatkan kerjasama sektor pendidikan tinggi di bidang perubatan, sains dan teknologi serta pembangunan penyelidikan dan inovasi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata kementerian melalui agensi dan universiti di Malaysia telah melaksanakan pertukaran empat Memorandum Perjanjian (MoA), lima Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Memorandum Kerjasama (MoC) dengan agensi dan universiti di Indonesia.
“Kita mahu membawa kerjasama hubungan kedua negara dalam sektor pendidikan tinggi kepada satu tahap yang lebih tinggi untuk memberi manfaat kepada institusi pendidikan dan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen memorandum di sini.
Mohamed Khaled, yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Indonesia bermula Ahad, berkata: “Malaysia sedia menerima lebih ramai pelajar dari Indonesia untuk memastikan matlamatnya melahirkan bakat untuk keperluan Indonesia menjadi negara maju.”
Menyentuh mengenai MoU, beliau berkata antara yang dimeterai ialah menubuhkan Satellite Office untuk menghasilkan impak penyelidikan dan pembangunan bakat khususnya dalam bidang kebitaraan kejuruteraan dan teknologi, meneroka bidang pengajian pendidikan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
Selain itu, MoU juga berkongsi kepakaran dalam bidang ilmu sains bahan, sumber manusia, kemudahan penyelidikan dan geran penyelidikan bagi kedua-dua pihak yang dianggarkan bernilai RM5 juta, memperluas akses pendidikan di Sumatera Utara dan membolehkan 135 juta tenaga kerja di Indonesia meningkatkan kelayakan akademik, mewujudkan platform perbincangan dan merangka inisiatif strategik antarabangsa berfokuskan bidang tenaga serta menyumbang kepada rantau ASEAN mencapai objektif sifar karbon. Mengenai MoA pula, pemeteraian adalah untuk menghasilkan 250 orang graduan Doktor Perubatan, manakala kerjasama memfokuskan kepada aspek pengajaran, pembelajaran dan pembangunan kapasiti. – Bernama



