Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia jadi negara tua menjelang 2048

    KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Malaysia diunjur menjadi negara tua menjelang 2048 apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas mencecah 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    Beliau yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata ini berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Julai 2025. 

    Amir Hamzah berkata Malaysia secara rasmi telah menjadi negara menua pada 2021 apabila populasi berumur 65 tahun dan ke atas mencecah tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

    “Peningkatan jangka hayat dan kemerosotan kadar kesuburan menyebabkan jumlah penduduk umur muda antara 0 hingga 14 tahun akan terus berkurang sementara jumlah penduduk umur tua lebih daripada 65 tahun akan terus meningkat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) berkenaan fenomena penuaan populasi yang dialami Malaysia serta persediaan kerajaan dalam menghadapi fenomena itu termasuk unjuran trend populasi, kelahiran, kematian dan perkahwinan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    Amir Hamzah berkata berdasarkan statistik DOSM, jumlah penduduk Malaysia pada 2025 adalah sebanyak 34.2 juta dan diunjurkan meningkat kepada 36.4 juta pada 2030 serta 38.3 juta menjelang 2035.

    “Kadar kesuburan juga diunjur terus berkurangan daripada 1.67 anak bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada 2025 kepada 1.66 pada 2030 dan 1.6 pada 2035. Ini berada di bawah paras penggantian semenjak 2013, taraf penggantian adalah 2.1,” katanya.

    Beliau berkata kadar perkahwinan kasar iaitu bilangan perkahwinan bagi setiap 1,000 penduduk juga menunjukkan trend penurunan, daripada 6.6 perkahwinan pada 2022 kepada 5.7 pada 2023.

    Amir Hamzah berkata perubahan dalam trend perkahwinan ini dijangka memendekkan tempoh reproduktif dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran.

    Beliau berkata kerajaan telah membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 pada tahun ini sebagai langkah proaktif mempersiapkan negara menghadapi status negara tua. 

    Menjawab soalan tambahan Sim sama ada kerajaan bercadang untuk menubuhkan kementerian khusus bagi warga emas, Amir Hamzah berkata, buat masa ini pelbagai kementerian sedia ada perlu bekerjasama menerusi pendekatan keseluruhan negara dalam menangani isu penuaan penduduk.

    Beliau berkata kerajaan telah menetapkan empat strategi utama di bawah RMK13 bagi menguruskan cabaran menjadi negara tua termasuk penjagaan jangka panjang, pasaran buruh dan kemahiran pendidikan, fiskal dan perlindungan sosial serta simpanan persaraan. – Bernama

    Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menghadiri Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda