Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia ke suku akhir, kalahkan Mesir 5-0

    KUALA LUMPUR, 29 SEPT – Skuad badminton Malaysia terdiri daripada barisan pemain muda kebangsaan mempamerkan aksi cemerlang untuk memastikan slot ke suku akhir Piala Sudirman 2021 selepas menewaskan Mesir 5-0 di Vantaa, Finland, semalam.

    Rentak kemenangan skuad Malaysia bermula dengan aksi beregu campuran di ranking ke-49 dunia Cheng Tan Jie-Peck Yen Wei yang menewaskan Ahmed Salah-Nour Ahmed Youssri 21-6, 21-7 dalam 20 minit masa perlawanan untuk mata pertama Malaysia.

    Mata kedua diperoleh menerusi perseorangan lelaki Ng Tze Yong selepas mencatatkan kemenangan 21-8, 21-2 mengalahkan Mohamed Mostafa Kamel.

    Malaysia mengesahkan tempat di suku akhir apabila pemain di ranking 134 dunia, Eoon Qi Xuan mengecewakan Doha Hany yang menduduki ranking ke-113, 21-5, 21-7 dalam perseorangan wanita.

    Mesir yang hanya menyenaraikan empat pemain, menurunkan gandingan Mohamed Mostafa-Ahmed untuk berdepan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk aksi beregu lelaki, dengan kemenangan berpihak kepada pasangan Malaysia, 21-7, 21-6.

    Beregu wanita, Teoh Mei Xing-Yap Ling melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia selepas mengalahkan Nour-Doha 21-4, 21-9.

    Malaysia melakukan perubahan menurunkan barisan kedua selepas mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas England pada perlawanan pembukaan semalam dengan merehatkan perseorangan utama Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Hoo Pang Ron-CheahYee See (beregu campuran), S Kisona (perseorangan wanita) dan Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita).

    Malaysia bakal berdepan Jepun bagi melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan pada Khamis dalam penentuan juara kumpulan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda