Malaysia kekal hab pelaburan menarik – MDEC

KUALA LUMPUR, 6 SEPT – Gergasi teknologi antarabangsa daripada industri perkhidmatan perniagaan digital global (DGBS), yang mengambil bahagian dalam Minggu Pelaburan Bulan Digital Malaysia 2021 (MTM’ 21) telah melahirkan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan yang menarik.

Industri DGBS adalah salah satu penyumbang utama ekonomi digital Malaysia, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam satu kenyataan hari ini.

“Walaupun syarikat GBS hanya menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan syarikat MSC Malaysia yang aktif, mereka merupakan penyumbang terbesar kepada prestasi keseluruhan MSC Malaysia atau merangkumi hingga 50 peratus pelaburan, 66 peratus eksport dan 61 peratus penciptaan peluang pekerjaan,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 579 syarikat GBS dalam MSC Malaysia, dengan 57 peratus merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

Tambahan pula, 30 peratus daripada GBS milik asing ini adalah sebahagian daripada syarikat Forbes Global 2000 dan Fortune500 seperti HSBC Electronic Data Processing, Dassault Systèmes dan Jabil Global Business Services.

“MDEC baru-baru ini melancarkan Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5), rancangan lima tahun yang memfokuskan kepada lima teras utama yang bertujuan menarik pelaburan termasuk memajukan ekonomi digital Malaysia sejajar dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya. Selain menyasarkan penciptaan 50,000 pekerjaan bernilai tinggi, DIF5 memberi tumpuan kepada lima sektor industri untuk menarik 50 syarikat teknologi Fortune500 bagi meneroka dan berkembang di Malaysia, dengan industri DGBS menjadi salah satu industri tumpuan. – Bernama