Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia kekal jadi destinasi menarik

    KUALA LUMPUR, 29 April – Malaysia dilihat sebagai lokasi menarik bagi kalangan bakat asing berikutan keberkesanan publisiti mengenai matlamat kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi selain dasar-dasar yang bersifat mesra warga asing, demikian menurut sebuah syarikat penyedia penyelesaian mobiliti antarabangsa.

    Pengarah Bersekutu ECA International Bagi Asia, Mark Harrison berkata Malaysia juga setanding dengan negara lain di rantau ini dari segi pelaksanaan dasar untuk menarik tenaga kerja mahir asing serta kesungguhan kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menjayakan usaha terbabit.

    “Malaysia adalah sebahagian daripada Komuniti Ekonomi ASEAN yang menyasarkan untuk memberi kemudahan serta kelancaran pergerakan penduduk dalam komuniti itu yang turut menkadi antara matlamatnya.

    “Kumpulan Undang-Undang Buruh kami juga menjangkakan perubahan akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang apabila Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian TransPasifik (CPTPP) dilaksanakan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi emel.

    Harrison berpendapat, dasar kerajaan dan undang-undang buruh juga berkemungkinan besar perlu ditambahbaik mengikut terma CPTPP selain seiring dengan negara lain menganggotai pakatan itu.

    Beliau turut menekankan kepentingan dasar Malaysia untuk mencetuskan kelainan bagi menarik dan mengekalkan pekerja, terutamanya ketika negara-negara lain seperti Singapura bertindak memperketatkan peraturan imigresen.

    Menurutnya, walaupun dasar seperti Malaysia Rumah Keduaku dan Pas Pemastautin Malaysia merupakan langkah positif, namun usaha menarik dan mengekalkan bakat asing turut bergantung kepada jenis atau kelompok yang mahu dimanfaatkan oleh negara ini.

    “Pekerja yang lebih kanan jarang berdepan kesukaran mendapatkan visa apabila dipindahkan ke lokasi lain oleh syarikat kerana layak untuk bekerja di kebanyakan tempat. Malah, syarikat lazimnya membuat persiapan berkaitan untuk mereka berkenaan.

    “Bagaimanapun, pendekatan sama tidak boleh dilakukan untuk pekerja lebih rendah, terutamanya mereka yang berpindah atas keinginan sendiri berbanding atas arahan syarikat,” katanya.

    Menurut Harrison lagi, pekerja asing juga lebih cenderung untuk berpendapatan tinggi dan atas alasan itu, jika dasar berkaitan mereka ditangani sebaik mungkin, ini dapat mengekang tindakan syarikat membawa masuk pekerja asing secara diskriminasi membabitkan pekerjaan yang sebaliknya boleh diisi oleh pekerja tempatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda