Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia kekal tegas tangani isu Laut China Selatan secara diplomatik

    KOTA BHARU, 19 SEPT – Malaysia mengulangi pendirian untuk terus tegas mempertahankan kedaulatan sempadan negara itu termasuk perairan Laut China Selatan sebagai kawasan yang bebas bagi kegiatan ekonomi dan perdagangan.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata sekiranya ada konflik atau isu berbangkit di kawasan terlibat, Malaysia akan menggunakan kaedah perbincangan, diplomasi dan dialog bagi penyelesaian masalah.

    “Baru-baru ini kita sudah sampaikan pandangan kita pada forum yang diadakan di Beijing, China terutamanya berkaitan keselamatan di perairan Laut China Selatan.

    “Kita ingin tegaskan, soal kedaulatan negara akan kita pertahankan dan kesemua negara yang terlibat sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di sini, hari ini.

    Beliau berkata jika dilihat berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, pihaknya akan memastikan perairan Laut China Selatan menepati Freedomland of Navigation yang bermaksud pelayaran dan keperluan maritim harus diberikan keutamaan.

    “Bagi pihak Malaysia dan China, hubungan kita agak baik dan sudah terjalin sejak lebih 50 tahun. Walaupun masing-masing mempunyai dakwaan tersendiri tetapi kita tetap tegas apa sahaja isu akan dibincangkan dan China terbuka mengenainya sebagaimana hasrat yang disampaikan ketika dialog di Beijing sebelum ini,” katanya.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan penganalisis pertahanan daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dengan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani konflik sempadan di perairan Laut China Selatan kerana mereka memiliki pelbagai strategi bagi menggalas tugas itu. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda