Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia ketengahkan konflik Gaza di Mesyuarat ADMM

    JAKARTA, 15 NOV – Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan ADMM-Plus ke-10 di Jakarta hari ini, menyuarakan kebimbangan mendalam Malaysia berhubung situasi di Gaza dan keperluan gencatan senjata segera.

    Dalam keadaan kritikal ini, Mohamad menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan kehilangan lebih banyak nyawa, penderitaan dan kemusnahan, sambil menggesa semua pihak bersabar dan mengurangkan ketegangan.

    “Dalam tempoh yang mencabar ini, Malaysia mengulangi pendirian tidak berbelah bahaginya supaya gencatan senjata dicapai segera, akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang, dan penolakan tegas terhadap sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah milik mereka,” kata Mohamad dalam ucapannya pada mesyuarat itu.

    Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hari bertemakan ‘Keamanan, Kemakmuran, dan Keselamatan,’ bersama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Isham Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Mohamad Yani Daud dan para pegawai kementerian.

    Memandangkan Indonesia mempengerusikan ADMM dan ADMM-Plus bagi 2003, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

    Dalam ucapannya beliau membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin merosot di Myanmar dan menyeru negara anggota ASEAN supaya aktif menyokong Myanmar dalam mencari penyelesaian yang berkekalan. – Bernama

    Datuk Seri Mohamad Hasan memimpin delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat ADMM ke-17 dan ADMM Plus ke-10 selama dua hari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda