Friday, July 5, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Malaysia kurang atlet renang wanita raih emas

    SURABAYA, 2 JULAI – Skuad renang Malaysia berdepan ketandusan atlet wanita untuk membutirkan lebih banyak pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 Surabaya–Malang.

    Pengurus pasukan kem renang Malaysia, Tan Seng Sen, berkata pihaknya perlu bekerja keras untuk mencari pelapis baharu atlet renang wanita yang akan membawa cabaran ke pelbagai temasya sukan dan kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

    “Jarak prestasi skuad kita dengan negara lain ialah kita kekurangan dari segi perenang wanita, kalau ada perenang wanita mungkin boleh banyak sumbang pingat emas, sebab yang kuat pasukan lelaki. Kita akan cari pelapis pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) kelak.

    “Bagi AUG 2026, kita akan buat persediaan awal sebagai tuan rumah dengan mengenal pasti atlet untuk mewakili negara. Kebanyakan atlet yang beraksi tahun ini akan bertanding lagi pada AUG 2026,” katanya kepada pemberita selepas kempen renang menutup tirainya semalam.

    Sepanjang kempen enam hari skuad renang AUG 2024 yang berlangsung di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini, Malaysia berjaya melepasi sasaran tujuh emas dengan membawa pulang keseluruhan sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa.

    Seng Sen berkata, prestasi yang ditampilkan skuad renang itu cukup memberangsangkan, namun terdapat beberapa prospek pingat emas tidak dapat dicapai dan perlu ditambah baik pada masa akan datang.

    Pingat emas yang hadir daripada kem renang ialah menerusi perenang wanita negara Phee Jinq En dalam acara 50 meter (m) kuak dada dengan catatan masa 32:03 saat (s), selain Tan Khai Xin yang mengungguli final acara 400m gaya bebas lelaki selepas mencatat 4:05:18s serta acara 400m rampaian individu lelaki dengan catatan 4:42:70s.

    Bryan Leong Xin Ren turut menyambar emas dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki dengan mencatat masa 24:54s dan acara 100m kuak kupu-kupu lelaki dengan merekodkan 54:22s, selain Hii Puong Wei yang cemerlang dalam acara 200m kuak dada lelaki (2:20:08s).

    Dua lagi pingat emas disumbangkan oleh Low Zheng Yong dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki (16:40:87s) dan 200m kuak kupu-kupu lelaki (2:08:48s). – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...