KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Malaysia masih mempunyai ruang fiskal untuk menguruskan cabaran tekanan harga berdasarkan nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 60 peratus.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata memandangkan kerajaan telah menaikkan had siling hutang statutori kepada 65 peratus daripada KDNK daripada 60 peratus sebelum ini, selain mengekalkan sasaran defisit sebanyak enam peratus daripada KDNK, masih terdapat ruang dalam ruang fiskal.
“Kita mempunyai inflasi yang terkawal berbanding jiran kita dan berbanding apa yang kita lihat di seluruh dunia. Inflasi diunjurkan antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus.
“Malah, inflasi pada sekitar 2.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan itu sebahagian besarnya berikutan jumlah subsidi yang besar yang kami perkenalkan. Kami mengunjurkannya (subsidi) pada sekitar RM80 bilion; iaitu hampir kepada AS$20 bilion,” katanya dalam temu bual di Cable News Network (CNN) baru-baru ini.
Antara lain, katanya bahan api yang disubsidi. Kerajaan memberi subsidi sebanyak 40 sen seliter untuk petroleum, dengan RON95 antara yang paling murah di dunia di Malaysia.
Tengku Zafrul berkata Malaysia mendapat manfaat daripada harga komoditi yang tinggi, terutamanya minyak, sebagai negara pengeksport komoditi, dengan minyak mentah Brent kini di bawah AS$100 setong. Dalam bajet negara, harga minyak diandaikan sebanyak AS$66 setong.
“Jika kita tidak melaksanakannya (subsidi), seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan kita, inflasi kita mungkin mencecah sekitar 11 peratus,” katanya. – Bernama