Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Malaysia mansuhkan hukuman mati mandatori

    KUALA LUMPUR, 10 JUN – Kerajaan Malaysia bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Wan Junaidi dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas. 

    “Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu,” katanya.

    Jawatankuasa itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum dan dianggotai pakar bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

    Beliau berkata Jemaah Menteri juga bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

    Wan Junaidi berkata kajian lanjut itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian atau jabatan berkepentingan.

    Beliau berkata tindakan itu amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip kekadaran dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti.

    Kerajaan juga katanya akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur prapenghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman dan pembangunan Garis Panduan Penghukuman. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...