KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Malaysia telah memulakan eksport durian segar ke China, dengan 40 tan metrik buah tropika itu dihantar dalam tiga fasa bermula kelmarin, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata kumpulan pertama terdiri daripada 15 tan metrik durian, diikuti fasa kedua hari ini dengan 10 tan metrik, manakala penghantaran selebihnya akan dilakukan dalam fasa ketiga.
Majlis Pelancaran Pengeksportan Pertama Durian Segar Malaysia ke China telah berlangsung di Kargo Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata bahawa durian segar itu dihantar melalui kargo udara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, hab kargo utama di China.
“Apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, rangkaian logistik yang sangat komprehensif – termasuk kereta api, trak dan pelbagai mod pengangkutan yang lain – memastikan durian segar diagih di seluruh China dalam tempoh kurang 24 jam, sampai ke bandar raya besar seperti Beijing, Shanghai yang merupakan pasaran utama untuk durian segar kita,” katanya.
Malaysia sebelum ini telah memulakan eksport durian sejuk beku ke China pada 2019. – Xinhua
