JOHOR BAHRU, 30 JUN – Kerajaan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya
Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia–Singapura, menyaksikan pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300.
Penguatkuasaan itu selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), iaitu menjadi suatu kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 4 Jun lepas berkata pelaksanaan sistem VEP penting bukan sahaja untuk kawalan aliran trafik rentas sempadan, tetapi juga bertujuan mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang jalan raya terhadap kenderaan asing.
Kegagalan mematuhi keperluan itu turut menyebabkan kenderaan terbabit tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia sehingga saman diselesaikan dan tag VEP diaktifkan.
Semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua diwajibkan mendaftar menerusi portal rasmi kerajaan dan membayar RM10 untuk pelekat VEP jenis Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang sah untuk tempoh lima tahun, serta menjelaskan Caj Jalan RM20 bagi setiap kemasukan.
Menurut maklumat daripada laman rasmi kerajaan Malaysia, kenderaan yang didaftarkan VEP akan diberikan tag RFID yang tidak boleh dipindah milik dan mempunyai pengecaman unik bagi setiap kenderaan serta sah untuk tempoh lima tahun. – Bernama


