BANGKOK, 30 JULAI – Menteri Luar Malaysia hari ini menyeru kerajaan Myanmar untuk mengambil langkah lebih adil bagi menangani penganiayaan hak asasi kemanusiaan terhadap minoriti Muslim Rohingya agar beratus-ratus ribu yang melarikan diri daripada tindakan keras tentera, boleh kembali dengan selamat ke negara itu.
Seruan itu dibuat pada mesyuarat menteri-menteri luar Asia Tenggara di Bangkok minggu ini. Ia juga susulan satu mesyuarat pada hujung minggu antara delegasi kerajaan Myanmar dan perwakilan pelarian Rohingya di Bangladesh yang membincangkan persekitaran lebih selamat bagi kepulangan mereka.
Lebih daripada 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas kempen memerangi pemberontakan oleh tentera Myanmar di negeri barat Rakhine dalam respons terhadap serangan pada 2017 oleh kumpulan pemberontak Rohingya. Kempen itu membawa kepada tuduhan bahawa pasukan keselamatan melakukan pemerkosaan dan pembunuhan beramai-ramai serta membakar beribu-ribu kediaman.
Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengatakan mereka menemui bukti bahawa tentera Myanmar melakukan jenayah dengan ‘niat genosid’ terhadap Rohingya.
“Banyak usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan krisis Rohingya, namun kesudahannya, kita memerlukan keinginan politik di Myanmar dan peringkat antarabangsa untuk melangkah ke hadapan,” menurut kementerian luar Malaysia dalam satu jawapan emel bagi soalan oleh The Associated Press.
“Malaysia tetap berpandangan bahawa kerajaan Myanmar menggalas tanggungjawab utama untuk bertindak ke atas dakwaan penganiayaan hak asasi manusia dilakukan di negeri Rakhine. Memastikan kebertanggungjawaban adalah imperatif bagi mencari penyelesaian kepada krisis ini dan membentuk satu persekitaran kondusif bagi kepulangan Rohingya yang melarikan diri ke Myanmar,” kata kementerian itu.
Kementerian itu mengakui bahawa 10 anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tidak fokus mengutarakan kekejaman di Rakhine, namun menjelaskan peranan ASEAN, sebahagian besarnya adalah terhad kepada menyalurkan bantuan kemanusiaan, boleh menyumbang secara positif terhadap mempercepatkan proses kepulangan pelarian. – AP
