Saturday, September 28, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia negara ketiga sedia berhijrah ke IPv6

    PETALING JAYA, 20 JUN – Malaysia menjadi negara ketiga di dunia yang telah memulakan proses persediaan untuk berhijrah ke Protokol Internet versi 6 (IPv6).

    Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek John Fernandez berkata proses peralihan daripada IPv4 kepada IPv6 yang menyediakan alamat IP unik untuk setiap pengguna internet sedang giat dilakukan bagi meningkatkan keselamatan siber dan kedaulatan perundangan negara.

    “Kita telah banyak berubah tetapi belum 100 peratus. Seterusnya kita akan cuba mendapatkan nombor pendaftaran National Internet Registry bagi Malaysia supaya alamat-alamat ini akan dapat diambil alih dalam bidang kuasa Kerajaan yang mungkin mengambil masa antara tiga hingga lima tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Asia Pacific Workshop: Certified IPv6 Migration Strategy for Regulators and Governing Authorities di sini hari ini yang dihadiri wakil organisasi telekomunikasi daripada beberapa negara bagi memperkenalkan konsep IPv6.

    Menurutnya lagi, ketika ini negara belum memiliki kuasa sepenuhnya ke atas alamat-alamat IP yang merupakan aset penting negara.

    “MCMC berpegang kepada Seksyen 171 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana kuasa atas alamat internet ini sebenarnya dalam milikan MCMC dan kerajaan Malaysia,” katanya.

    Terdahulu, forum dua hari bermula hari ini antaranya akan membincangkan kebaikan penggunaan IPv6 yang menggunakan alamat lebih panjang dengan banyak kelebihan dari segi keselamatan dan kegunaan selain dapat mengurangkan jenayah seperti penipuan dalam talian. – Bernama

    Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika sidang media pada Majlis Pelancaran MCMC Microsoft AI Teach: Skills for AI-enabled Economy dan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara MCMC dan Microsoft Malaysia, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda