Sunday, January 19, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia pelopori seni hiasan al-Quran

    KUALA LUMPUR 26 FEB – Malaysia mempelopori kesenian hiasan al-Quran dengan menerapkan nilai-nilai estetika Islam pada setiap mushaf (naskhah) termasuk identiti sesebuah negara.

    Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata usaha yang dilakukan pihaknya sejak 30 tahun lepas itu bertujuan menarik minat orang ramai khususnya orang bukan Islam untuk mendalami al-Quran menerusi kesenian Islam.

    “Mushaf yang kami keluarkan bukan untuk diedarkan di Malaysia sahaja, malah luar negara….jadi kita akan kaji mengenai negara berkenaan untuk mengetahui motif yang menggambarkan identiti masing-masing bagi tujuan hiasan al-Quran yang akan diterbitkan.

    “Setakat ini pasukan yang menjalankan kajian ini ada lebih kurang 100 orang dan mereka ini akan ke negara-negara terlibat untuk mempelajari budaya negara berkenaan.” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

    Beliau berkata ketika ini sebanyak 30 jenis hiasan al-Quran melibatkan 30 jenis terjemahan bahasa dihasilkan bermotifkan identiti negara antaranya Perancis, China dan India.

    Abdul Latiff berkata sebelum mendapat banyak permintaan dari negara luar, pihaknya menghasilkan mushaf Malaysia dengan memasukkan motif tempatan yang menunjukkan identiti negara termasuk budaya dan masyarakat.

    “Kalau dahulu al-Quran ini kita peroleh dari negara arab, tetapi kepentingan untuk kaitkannya dengan motif tempatan tidak berlaku. Jadi kita hasilkan mushaf Malaysia yang mana ia dihias untuk menunjukkan identiti negara dan usaha itu tidak terhenti di situ, malah dikembangkan pula mengikut daerah dan negeri,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda