Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia perkukuh kerjasama tenaga serantau menerusi perjanjian petroleum ASEAN

    KUALA LUMPUR, 16 OKT – Malaysia telah mengesahkan komitmennya untuk mengukuhkan daya tahan dan keselamatan tenaga serantau dengan memeterai Perjanjian Rangka Kerja bagi Keselamatan Petroleum ASEAN bersama negara anggota lain pada Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) di Kuala Lumpur.

    Kementerian Ekonomi Malaysia berkata perjanjian yang menggantikan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) 2009 itu mewujudkan rangka kerja serantau yang diperbaharui untuk meningkatkan keselamatan petroleum dan memastikan mekanisme tindak balas yang diselaraskan ketika berlakunya kecemasan bekalan.

    “Ia menggariskan usaha kolektif ASEAN untuk memelihara kestabilan tenaga rantau ini melalui kerjasama yang bersifat sukarela, komersial dan saling menguntungkan.

    “Perjanjian itu menandakan satu lagi langkah ke hadapan ke arah visi bersama ASEAN mengenai komuniti tenaga serantau yang berdaya tahan, saling berhubung dan selamat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut kementerian itu, perjanjian yang diperbaharui itu turut meningkatkan mekanisme sedia ada dengan meluaskan skopnya dengan memasukkan gas asli dan mengukuhkan penyelarasan dalam kalangan negara anggota.

    Tambahnya, perjanjian baharu itu diiktiraf sebagai mekanisme penting bagi memastikan keselamatan minyak dan gas semasa gangguan bekalan, meningkatkan penyelarasan tindak balas kecemasan dan mengukuhkan daya tahan sistem tenaga serantau. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda