Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia perlu tingkatkan eksport alat ganti kereta untuk jadi hab serantau

    KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Potensi Malaysia untuk muncul sebagai hab automotif bagi Asean bukan sahaja terletak melalui strategi untuk meningkatkan eksport kereta, malah turut bergantung kepada kenaikan eksport bagi alat ganti dan komponen.

    Bagi mencapai matlamat ini, syarikat automotif dan alat ganti di Malaysia perlu bekerja keras untuk meningkatkan eksport kereta yang ketara bagi mencapai skala ekonomi dan membolehkan alat ganti kereta dijual pada harga lebih kompetitif.

    Peningkatan volum jualan berupaya mengurangkan kos pengeluaran, menjadikannya lebih berdaya saing berbanding negara serantau dan negara jiran yang mempunyai alat ganti kereta lebih murah berikutan volum jualan yang tinggi.

    Pengeluar kereta, penyelidik industri auto dan pakar ekonomi yakin bahawa usaha ini penting untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi Asean dan memanfaatkan hampir 700 juta jumlah pengguna di rantau ini.

    Bercakap kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz menyeru agar pengilang peralatan asal (OEM) bukan sahaja mengeksport kereta, malah alat ganti dan komponen.

    “Ini sekali gus meningkatkan daya saing keseluruhan industri automotif Malaysia,” katanya sebagai mengulas laporan mengenai kos rantaian bekalan Malaysia yang dikatakan 30 peratus lebih tinggi berbanding China dan 10 peratus lebih mahal berbanding Thailand.

    Azrul Reza menegaskan bahawa adalah penting untuk memberi perhatian bahawa kos ini berbeza dengan ketara bergantung kepada struktur kos, model kereta dan ekosistem rantaian bekalan setiap syarikat.

    Beliau menekankan bahawa syarikat mungkin mempunyai tahap pengalaman yang berbeza dari segi rantaian bekalan, yang memberi kesan terhadap kecekapan kos keseluruhan masing-masing. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda