Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia perlukan kawasan penanaman nanas lebih luas

    JOHOR BAHRU, 23 Sept – Negara memerlukan 3,000 hektar tanah lagi sebagai kawasan penanaman nanas Premium MD2 bagi memenuhi permintaan eksport yang semakin meningkat pada masa ini.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata buah tersebut ketika ini mendapat permintaan tinggi di 13 negara termasuk Oman, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, China, Singapura, Korea Selatan dan terbaharu Kuwait. Namun, dengan kawasan penanamannya yang hanya seluas 2,000 hektar di seluruh Malaysia setakat ini, ia sedikit menyukarkan Malaysia menampung permintaan berkenaan.

    “Potensi nanas ini sangat besar, malah hari ini pun dua kontena nenas (bersamaan 36 tan) telah dihantar ke pasaran Kuwait. Jadi kita menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 100 kontena bersamaan 1,800 tan metrik nanas sebulan.

    “Daripada jumlah itu, 50 kontena atau 900 tan metrik nanas akan dieksport,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melawat ladang nanas Kulim (Malaysia) Berhad di Ulu Tiram, di sini, hari ini.

    Salahuddin berkata pada masa depan, pihaknya menyasarkan untuk menembusi pasaran Eropah namun kini fokus lebih terarah kepada pasaran China berikutan bekalan nanas belum mencukupi. – Bernama

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Ladang Nanas Kulim di Ulu Tiram kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda