KUALA LUMPUR, 14 DIS – Malaysia memperoleh sebanyak 41 pameran yang membawa kepada sumbangan RM632 juta untuk impak ekonomi daripada 2022 hingga 2030, menurut Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Khani Daud berkata jumlah kehadiran pengunjung dalam 41 pameran itu dianggarkan seramai 287,089 orang dan angka itu diramalkan terus meningkat.
“Saya berharap menerusi kerjasama erat dengan Persatuan Global Industri Pameran (UFI), kita akan mampu membawa sektor ini ke tahap lebih tinggi.
“Sejak penubuhannya, MyCEB turut berjaya memberikan sokongan kepada lebih 230 pameran yang menghimpunkan anggaran 2.3 juta pengunjung, menyumbang kira-kira RM5.8 bilion untuk anggaran impak ekonomi,” katanya pada UFI Expert Day 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MyCEB, Pengarah Urusan UFI, Kai Hattendorf berkata Persidangan UFI Asia Pasifik 2023 akan diadakan pada 2 hingga 3 Mac tahun depan di Kuala Lumpur.
“Sebagai lokasi penting yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, tempat pameran yang moden serta infrastruktur sokongan yang maju, MyCEB merupakan hos ideal untuk persidangan pertama kami secara bersemuka di rantau ini selepas pandemik,” katanya. – Bernama