Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Malaysia peroleh naib juara kejohanan badminton

    KUALA LUMPUR, 17 FEB – Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib johan selepas tewas pada India 1-4 dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 di Pusat Pameran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin.

    Perseorangan lelaki nombor sembilan dunia, H.S Prannoy mengumpul mata sulung untuk India apabila beliau bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengetepikan jaguh Malaysia, Lee Zii Jia, 18-21, 21-13, 25-23 dalam perlawanan pembukaan.

    Kemenangan Prannoy memberi lebih keyakinan kepada juara dunia perseorangan wanita 2019, Pusarla V. Sindhu, yang mudah menundukkan pemain muda Malaysia, Wong Ling Ching, 21-13, 21-17.

    Juara dunia, beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengurangkan defisit kekalahan dengan menewaskan Dhruv Kapila-Chirah Shetty, 21-16, 21-10.

    Bagaimanapun, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, yang menduduki ranking ke-19 dunia, muncul wira India selepas mereka mengejutkan beregu wanita utama Malaysia yang juga beregu nombor lima dunia Pearly Tan-M.Thinaah, 23-21, 21-15, sekali gus menjadikan India juara kumpulan.

    Beregu campuran nombor 26 dunia, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto, melengkapkan kemenangan India dengan meraih mata keempat, meskipun berdepan tentangan hebat daripada gandingan meningkat naik negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, 21-19, 19-21, 21-16.

    Sementara itu, Kazakhstan memperoleh tempat ketiga Kumpulan B selepas mengalahkan UAE, 3-2.

    Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik layak secara automatik untuk Piala Sudirman. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...