Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-63 tahun pada malam hari ini, bertempat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di Jalan Kebangsaan.
Hadir di majlis tersebut ialah ketua-ketua Agensi Suruhanjaya Tinggi Malaysia Bandar Seri Begawan, Presiden Persatuan Warganegara Malaysia, James Lee, Presiden Persatuan Kebajikan SeMalaysia, Haji Shahdan Abdol, dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia serta rakyat Malaysia yang menetap di Brunei Darussalam.
Acara tersebut diadakan secara sederhana pada tahun ini berikutan wabak COVID-19, di mana pihak kedutaan berkenaan mengadakannya dengan menerapkan langkah-langkah pencegahan dan mengikut garis panduan penjarakan sosial dari Kementerian Kesihatan.
Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara, Brunei Darussalam dan Malaysia, diikuti dengan ucapan daripada Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Nadia Azura binti Mohd Nudri.
Menurut Nadia Azura, sepanjang tempoh kritikal pandemik COVID-19, sektor ekonomi menerima impak yang sangat besar, dan pastinya ramai individu terjejas dengan perubahan mendadak ini.
Beliau mengongsikan bahawa setakat hari ini, seramai 257 orang telah menerima barangan asas seperti beras, minyak, telur dan bantuan perubatan.
Dalam ucapannya juga, Nadia Azura menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas segala sokongan yang telah diberikan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan sekalung penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang bernaung di negara yang aman damai ini.
Acara diteruskan dengan pemotongan kek oleh Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia bersama presiden-presiden persatuan dan jemputan khas, diikuti dengan jamuan makan malam dan sesi bergambar ramai.
