Malaysia rekod 16 kes baharu koronavirus

KUALA LUMPUR, 21 JUN – Malaysia melaporkan 16 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kumulatif terkini kes positif sebanyak 8,572 pesakit, manakala kematian kekal pada 121 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu itu merangkumi 13 penularan tempatan dan tiga kes import yang melibatkan dua warga Malaysia dan seorang pemastautin tetap.

“Bagi 13 kes penularan di dalam negara, sembilan melibatkan bukan warganegara manakala hanya empat kes adalah dalam kalangan warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata berikutan kes baharu tersebut, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini ialah 295 kes.

Dr Noor Hisham berkata bagi kes jangkitan tempatan melibatkan bukan warganegara, enam adalah daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan; dua kes kontak rapat kepada kes ke-8,513 daripada kluster syarikat pembersihan di Selangor; dan satu kes daripada saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Sabah sebelum penghantaran pulang ke Indonesia.

Untuk kes penularan dalam negara melibatkan empat warga tempatan pula, dua kes ialah kontak rapat kepada kes ke-8,535 daripada Kluster Kidurong, Sarawak; satu kes saringan Orang Kena Tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap di Melaka dan satu kes saringan prapembedahan di hospital di Johor. – Bernama