GEORGE TOWN, 30 Sept – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menyasarkan 30 juta kemasukan pelancong ke Malaysia menjelang tahun 2020.
Timbalannya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata kemasukan pelancong pada tahun itu secara langsung akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.1 peratus berbanding 14.9 peratus atau 26.1 juta pelancong yang mengunjungi Malaysia pada tahun lepas.
“Kami menyasarkan 15.1 peratus untuk KDNK pada 2020 dan kami kini memohon lebih banyak peruntukan untuk promosi pelancongan kerana ia kunci kemampanan bagi industri pelancong itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis ‘Flag Off’ Distinguished Gentleman’s Ride Penang 2018 di sini, hari ini.
Katanya, dengan peruntukan itu, kementerian akan meningkatkan aktiviti dari segi mempromosikan negara secara lebih meluas yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
“Kita kini mendapat saingan ketat dari Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Singapura dalam industri ini, jadi kita perlu perkukuhkan promosi kita dan berharap rakyat Malaysia sedia mengambil bahagian untuk meningkatkan pelancongan domestik,” katanya.
Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Bakhtiar turut menggesa badan-badan pelancongan agar menggunakan tagline ‘Malaysia Truly Asia’ yang dilihat mampu mempromosikan Malaysia secara lebih menyeluruh. Dalam pada itu, dia berkata melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha untuk memanjangkan cuti sekolah mengikut negeri supaya mana-mana destinasi pelancongan di dalam negara ini tidak hanya tertumpu pada satu tempat sahaja. – Bernama