KUALA LUMPUR, 6 MAC – Parlimen Malaysia hari ini meluluskan rang undang-undang baharu yang bertujuan menjadikan negara itu sebagai ‘peneraju global’ dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) – kaedah yang dikatakan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Rang undang-undang itu menyediakan kerangka perundangan bagi CCUS, yang disifatkan Malaysia sebagai pemacu ekonomi utama dengan potensi mencecah AS$250 bilion serta membuka ratusan ribu peluang pekerjaan menjelang 2050.
Teknologi CCUS bertujuan menangkap karbon dioksida (CO2) di sumber pelepasan sebelum disimpan secara kekal di bawah tanah, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran daripada sektor industri dan tenaga.
Ia mendapat sokongan sektor perindustrian berat dan minyak dan gas, selain diiktiraf panel saintifik utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai perubahan iklim sebagai penyelesaian bagi industri sukar dinyahkarbonkan.
Namun, sesetengah saintis dan aktivis alam sekitar melihat CCUS sebagai alasan untuk terus membakar bahan api fosil, selain mempersoalkan keberkesanannya berikutan kos serta kerumitan pelaksanaannya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata rang undang-undang itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi rendah karbon, di samping membantu negara menangani perubahan iklim. – AFP
