Saturday, November 16, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia sasar perkukuh kedudukan sebagai hab SBSR Asia – MIDA

    LANGKAWI, 26 MEI – Malaysia menyasar untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembinaan kapal dan pembaikan kapal (SBSR) Asia melalui kerjasama dan inovasi untuk membentuk masa depan yang cerah bagi industri itu, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

    Dalam kenyataan hari ini, MIDA menjelaskan industri SBSR berkembang maju dalam ekosistem dinamik dengan pelbagai pihak berkepentingan bekerjasama untuk mereka bentuk, membina, menyelenggarakan dan menaik taraf kapal.

    “Rangkaian yang saling berkaitan ini membentuk asas bagi daya tahan dan pertumbuhan, manakala kepakaran mereka pula menyumbang kepada sektor pembinaan kapal dan pembaikan kapal yang kukuh dan berdaya saing,” jelasnya.

    Pengerusi MIDA, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata industri itu bersedia untuk evolusi dan pertumbuhan yang berterusan memandangkan Malaysia berhasrat menjadi hab SBSR terkemuka Asia dengan memanfaatkan penyelesaian pintar, teknologi tanpa gangguan dan kecanggihan Industri 4.0 untuk membina kapal moden dan mesra alam.

    “Susulan lanjutan insentif cukai dan pengecualian duti import sehingga 31 Disember 2027 seperti yang diumumkan kerajaan, industri SBSR bersedia untuk menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan kapasiti serta keupayaannya,” katanya.

    Beliau berkata langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong industri maritim dan menjadikan Malaysia sebagai hab SBSR terkemuka.

    Menurut MIDA industri SBSR menarik pelaburan bernilai RM363 juta daripada lima projek pada 2022, menandakan lonjakan ketara sebanyak 451.7 peratus daripada angka pelaburan RM65.8 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya. – Bernama

    Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23). MIDA kelmarin berkata Malaysia menyasar untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab SBSR Asia. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda