Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia sasar tiga pingat untuk ATC 2025

    NILAI, 17 FEB – Skuad Malaysia meletakkan sasaran sederhana tiga pingat untuk Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional di sini bermula 21 hingga 27 Februari ini.

    Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berkata peluang pingat itu disandarkan bagi acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta keirin wanita menerusi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

    “Secara realistik, saya hanya letak sasaran tiga pingat sahaja tanpa menyasarkan warna,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman hos penyiaran rasmi bagi ACT di Nilai hari ini.

    Jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak menyertai kejohanan itu, manakala jumlah acara yang bakal disertai oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula belum diputuskan.

    “Shah Firdaus mengalami kecederaan lutut dua minggu lepas dan kami baru mendapat keputusan MRI (pengimejan resonans magnetik) hari ini. Kita lega beliau tidak perlu mengambil suntikan (untuk pemulihan kecederaan itu), tetapi kena buat keputusan berapa banyak acara yang beliau akan sertai.

    “Kami akan mengadakan perbincangan selepas ini jika beliau akan beraksi dalam acara keirin sahaja atau turut sertai pecut individu. Beliau juga mahu beraksi di ACT untuk menjaga kedudukan rankingnya di 10 teratas dunia, walaupun perlu bergelut dengan kesakitan ketika perlumbaan,” katanya.

    Muhammad Shah Firdaus disenaraikan bersama Muhammad Fadhil Mohammad Zonis untuk acara keirin lelaki dan akan beraksi di pecut individu bersama adiknya Muhammad Ridwan, manakala Muhammad Fadhil dan Muhammad Ridwan akan berganding dengan pelumba muda Mohd Akmal Nazimi Jusena bagi pecut berpasukan.

    Harnizam berkata Jepun yang dijangka hadir dengan pasukan terkuatnya bakal menjadi cabaran utama buat skuad negara, manakala China dijangka menghantar muka baharu bagi saingan kali ini. – Bernama

    Ketua jurulatih pasukan berbasikal kebangsaan Hanizam Basri (kiri) ketika sidang media mengenai Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2025 di Velodrom Kebangsaan Nilai, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda