KUALA LUMPUR, 20 JULAI – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menyasarkan tujuh pingat emas pada Kejuaraan Silat Dunia 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka, dari 26 hingga 31 Julai ini.
Presidennya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, walau bagaimanapun, berkata, beliau tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada 36 pesilat Malaysia dalam 32 acara dipertandingkan.
Antara nama besar yang akan menyertai kejohanan itu ialah juara dunia tiga kali, Mohd Al Jufferi Jamari, Mohd Fauzi Khalid dan srikandi silat Malaysia yang merangkul pingat perak pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Mei lepas, Siti Rahmah Mohamed Nasir.
“Ini juga adalah peluang terbaik untuk Malaysia mencipta kejayaan memandangkan ia adalah satu kelebihan untuk beraksi di tanah air yang sudah pasti akan membakar semangat kontinjen Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas simbolik penyerahan Jalur Gemilang, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain merasakan penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) pada pentas dunia berkenaan dapat membantu melancarkan kejuaraan tanpa isu melibatkan keputusan kontroversi pengadil perlawanan.
Beliau pada masa sama tidak menolak Malaysia berkemungkinan akan menerima cabaran sengit daripada negara luar setelah dua tahun kejuaraan ini tidak dianjurkan berikutan pandemik COVID.
Sebanyak 490 negara dijangka mengambil bahagian termasuk negara rantau ASEAN, India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Amerika Syarikat, Belanda dan Jerman. – Bernama
