Tuesday, February 4, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia sertai fasa kedua Jambatan Udara Kemanusiaan ke Gaza

    PUTRAJAYA, 3 FEB – Malaysia menyertai fasa kedua Jambatan Udara Kemanusiaan ke Gaza yang diterajui Jordan, menegaskan komitmennya untuk menyokong usaha bantuan untuk rakyat Palestin.

    Dalam satu kenyataan, hari ini, Kementerian Luar berkata penyertaan Malaysia dalam inisiatif itu dipermudahkan melalui Kedutaannya di Amman.

    Delegasi Malaysia telah disambut oleh Komander Pangkalan Udara Raja Abdullah II, Kolonel Plt. Osama Al Khatib, dan Tentera Udara Diraja Jordan (RJAF), menekankan sokongan berterusan negara terhadap usaha kemanusiaan Jordan.

    “Ini susulan sumbangan Malaysia sebanyak AS$5 juta daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kepada Kerajaan Jordan pada 18 Disember 2024 yang digunakan untuk operasi jambatan udara itu,” menurut kenyataan berkenaan.

    Malaysia sebelum ini mengambil bahagian dalam fasa pertama operasi pada 28 Januari 2025.

    Penduduk Palestin mengejar trak bantuan kemanusiaan yang tiba melalui persimpangan Kerem Shalom dari Mesir ke Semenanjung Gaza, di Rafah pada 21 Januari. – AP

    Menurut kementerian itu, jambatan udara yang diketuai Jordan, yang diarahkan oleh Raja Abdullah II, telah beroperasi sejak 28 Januari dan akan diteruskan sehingga esok, mengerahkan 16 helikopter dengan 16 penerbangan harian oleh RJAF dengan penyelarasan negara sahabat.

    Jambatan udara itu bertujuan untuk menghantar bekalan bantuan segera, termasuk bantuan perubatan, makanan dan keperluan bayi, terus ke kawasan yang terjejas di Gaza.

    Malaysia, Greece dan Itali adalah antara negara terawal yang menyokong inisiatif ini, dengan lebih banyak negara dijangka menyertai dalam beberapa hari akan datang.

    “Malaysia kekal komited untuk menyokong usaha Jordan dalam menangani krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza, yang berterusan sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, dan tidak terhenti sejak pengumuman gencatan senjata pada 15 Januari 2025,” katanya.

    Malaysia juga menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk penentuan nasib sendiri dan kenegaraan, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda