BUTTERWORTH, 29 Jun – Malaysia akan menyertai latihan simulasi penerbangan Pitch Black, yang turut disertai tujuh negara lain, di Australia, September ini.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata latihan itu penting untuk terus disertai bagi memberi pendedahan kepada anggota TUDM mengenai keadaan sebenar di medan peperangan.
“Kami tidak mahu ketinggalan… hasil selepas simulasi itu kami akan dapat tahu di mana kekurangan dan di mana kita (kemampuan)… banyak yang boleh dipelajari dengan menjadi sebahagian daripada latihan ini,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun ke-60 Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Pangkalan TUDM di sini hari ini.
Latihan Pitch Black, yang dianjurkan RAAF, bertujuan membantu petugas angkatan udara untuk mengamalkan pertempuran operasi lawan udara (offensive Counter Air atau OCA) dan Kaunter Pertahanan Udara (DCA) dalam persekitaran peperangan simulasi.

Affendi berkata seramai 73 anggota TUDM akan menyertai latihan selama tujuh hari itu di Darwin, Australia. Selain Malaysia tujuh negara yang turut menyertai latihan itu ialah Singapura, India, Thailand, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand dan Emiriah Arab Bersatu.
Terdahulu Affendi berkata hubungan erat antara TUDM dengan RAAF memberi kesan positif dalam aspek kestabilan.
Malaysia dan Australia mempunyai hubungan bilateral yang amat akrab sejak dahulu lagi semasa RAAF menapak di Butterworth “Hari ini adalah hari bersejarah bagi TUDM dan RAAF.Ini menandakan pada hari ini adalah tahun ke-60 kita berkolaborasi dan pada masa yang sama kita dapat melihat bukan sahaja dari segi diplomasi tetapi dari aspek sekuriti di mana kedua-dua negara ini telah menjadi rakan strategik yang rapat,” katanya. – Bernama