PUTRAJAYA, 6 JULAI – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat mengenai kemungkinan penglibatan seorang warganegara Malaysia dalam insiden feri karam di Selat Bali.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan, usaha sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa-mangsa yang terlibat.
“Kedutaan telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia sejak awal lagi dan pada mulanya dimaklumkan tiada warganegara Malaysia terlibat dalam insiden itu.
“Namun, berikutan laporan terbaharu yang menunjukkan kemungkinan terdapat seorang rakyat Malaysia antara mangsa, pihak Kedutaan sedang giat bekerjasama dengan Jabatan Konsular Kementerian dan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan perkara tersebut,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan, selagi operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, Kedutaan akan terus menjalin hubungan rapat dan berterusan dengan semua agensi berkaitan.
Bernama sebelum ini telah melaporkan sebuah feri yang membawa 12 anak kapal, 53 penumpang dan 22 kenderaan karam di Selat Bali lewat malam Rabu ketika dalam perjalanan dari Jawa Timur ke Bali. – Bernama


