Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia, Singapura perkenal tren pertama tanpa pemandu RTS

    SINGAPURA, 30 JUN – Set tren pertama daripada lapan untuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura diperkenalkan hari ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam projek rel rentas sempadan Malaysia-Singapura.

    Tren yang dihasilkan oleh CRRC Zhuzhou Locomotive Co Ltd itu diperkenalkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow, di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC).

    Pengerusi RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata Tren 01 yang tiba di Singapura pada April 2025 akan menjalani Ujian Integrasi Sistem Luar Tapak (OSIT) di SRTC sebagai persediaan untuk integrasi dan operasi penuh.

    Set tren 02 hingga 05 telah dihantar ke fasiliti pembuatan tren CRRC di Batu Gajah, Malaysia dan sedang dalam proses pemasangan, manakala set tren 06 hingga 08 akan melalui proses yang sama selepas ini.

    “Apabila pemasangan selesai, set tren itu akan dipindahkan ke Depoh Wadi Hana di Johor Bahru untuk ujian lanjut dan persiapan akhir sebelum ditauliahkan untuk perkhidmatan penumpang,” katanya pada majlis pelancaran tersebut, hari ini.

    Dalam kenyataan bersama, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura memaklumkan OSIT yang dijadualkan siap pada suku keempat tahun ini dan akan dilaksanakan oleh RTSO, syarikat usaha sama antara Prasarana RTS Operations Sdn Bhd dan SMRT RTS Pte Ltd untuk mengendalikan perkhidmatan RTS Link.

    RTS Link dijangka memulakan operasi penumpang menjelang Disember 2026, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura.

    RTS Link akan mempunyai kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.

    Untuk memudahkan perjalanan lancar, kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan disediakan di kedua-dua stesen, membolehkan penumpang hanya perlu menjalani pemeriksaan imigresen di stesen berlepas.

    Menurut RTSO, kerja-kerja sistem rel projek ini berjalan lancar dengan kadar kemajuan sekitar 56 peratus setakat ini. – Bernama

    Anthony Loke (tengah kiri) dan Jeffrey Siow (tengah kanan) semasa Majlis Pelancaran RTS di Pusat Ujian Rel Singapura pada 30 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda