Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia tawar diri untuk bantu selesai konflik Qatar

    PUTRAJAYA, 29 Jun – Malaysia menawarkan diri untuk memainkan peranan konstruktif  dalam menyelesaikan konflik antara Qatar dan beberapa negara Arab yang lain tetapi menghormati hasrat pihak yang terlibat menyelesaikan permasalahan itu menerusi rangka kerja serantau mereka.

    Kementerian Luar (Wisma Putra), dalam kenyataan hari ini, berkata tawaran Malaysia untuk memainkan peranan konstruktif yang diperlukan diterima baik dan dihargai oleh pihak berkenaan.

    Bagaimanapun, ia berkata, negara-negara yang terlibat telah melahirkan harapan supaya negara lain dan pertubuhan antarabangsa di luar rantau itu membenarkan mereka menyelesaikan permasalahan itu melalui rangka kerja mereka seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) selain usaha perantaraan Emir Kuwait .

    “Malaysia dan negara-negara lain di luar GCC menghormati kehendak mereka. Oleh itu, Malaysia akan menyokong semua usaha GCC dan Emir Kuwait,” kata Wisma Putra.

    Konflik tersebut dilaporkan tercetus apabila beberapa negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar sejak awal Jun dengan mendakwa negara itu menyokong militan dan Iran.

    Wisma Putra berkata Malaysia sedang memantau konflik tersebut dan pihak kementerian sentiasa berhubung dengan semua negara yang terlibat sejak permasalahan itu tercetus pada 5 Jun lepas.

    Ia berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah menghubungi rakan sejawat mereka dari seluruh dunia islam sejak itu bagi berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini dan mencari kaedah penyelesaian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda