KUALA LUMPUR, 8 MAC – Malaysia berazam untuk memperluas hubungan perdagangan negara dengan memastikan kejayaan pelaksanaan perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) telah memainkan peranan penting dalam mempermudah perniagaan dan memastikan rantaian bekalan beroperasi dengan lancar di seluruh rantau ini, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan global yang berlaku.
ACFTA telah menjadi asas kepada hubu-ngan ekonomi ASEAN-China, dan Malaysia komited untuk menambah baik ACFTA bagi memastikan ia kekal komprehensif, relevan dan saling bermanfaat kepada semua anggota.
“Sebagai koordinator negara bagi ASEAN-China dari Julai 2024-2027, Malaysia akan memainkan peranan membina untuk meningkatkan hubungan ASEAN-China, terutamanya dalam menyokong usaha ke arah memuktamadkan Rundingan Peningkatan ACFTA 3.0,” katanya dalam ucap tama pada prapelancaran Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024), hari ini. – Bernama