BUKIT KAYU HITAM, 30 SEPT – Pembukaan pintu sempadan negara bagi membenarkan kemasukan pelancong asing ke negara ini hanya akan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik COVID-19.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pada masa ini negara masih berada dalam fasa pandemik wabak itu dan kesediaan untuk peralihan ke fasa endemik akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.
“Apabila kita telah bersedia, Ke-menterian Kesihatan akan meng-umumkan, sekarang ini masih dalam isu fasa pandemik, kalau kita sudah bersedia boleh masuk ke fasa endemik.
“Sebenarnya, (agensi penguat-kuasaan yang mengawal pintu masuk sempadan) Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah bersedia, kami sudah bersedia (untuk pintu sempadan negara dibuka),” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Hamzah berkata kebenaran rentas pintu sempadan negara oleh rakyat negara ini atau warga asing itu juga nanti akan tertakluk kepada prosedur operasi standard yang akan ditentukan kemudian. – Bernama
