JAKARTA, 6 SEPT – Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk mempercepatkan peralihan tenaga bersih dan akan berusaha untuk mengukuhkan kerjasama serantau dan meningkatkan kesalinghubungan merentasi sistem tenaga di rantau ini.
Dengan berbuat demikian, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata ASEAN boleh mengorak langkah ketara ke arah masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan untuk semua negara anggota.
“Malaysia mengiktiraf inisiatif yang bertujuan untuk mengintegrasikan sistem tenaga kita dan memajukan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon seperti Grid Kuasa ASEAN dan Saluran Paip Gas Trans-ASEAN akan menjadi pemacu utama untuk masa depan tenaga kolektif kita,” katanya pada Sidang Kemuncak Kelestarian Antarabangsa Indonesia (ISF) kelmarin.
Dalam ucapannya bertajuk Industri Hijau: Memajukan Sumber Tenaga Rendah Karbon, Fadillah menyatakan kepuasan terhadap kemajuan kerjasama rantau ini, menekankan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) sebagai kerangka utama untuk memacu peralihan rendah karbon di rantau ini.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Fadillah menekankan komitmen Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperkasa tenaga boleh diperbaharui untuk mewujudkan industri yang lebih hijau.
“Malaysia merancang untuk melabur dalam teknologi biojisim dan biogas untuk mempelbagaikan portfolio tenaga boleh diperbaharui dan menggalakkan ekonomi kitaran,” katanya. – Bernama