KUALA LUMPUR, 22 SEPT – Malaysia menerima kelengkapan pertahanan merangkumi 14 pesawat tanpa pemandu (UAV) dan tujuh bot penyelamat, menerusi inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun hari ini, sekali gus memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebanyak enam daripada 14 UAV berkenaan akan diserahkan kepada Tentera Darat (TDM), enam kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dua lagi kepada Bahagian Siber dan Elektronik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata menerusi OSA, Jepun membekalkan peralatan pertahanan tidak membawa maut kepada negara rakan, dengan Malaysia antara penerima inisiatif itu pada tahun ini selain Filipina, Bangladesh dan Fiji.
“Hubungan rapat antara Jepun dan tidak hanya terhad kepada bidang-bidang yang biasa, malah pada hari ini telah menjangkau kepada bidang pertahanan.
“Malaysia dan Jepun berkongsi keyakinan bahawa kestabilan di Asia Tenggara bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di rantau ini, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti global,” katanya ketika pemberita selepas majlis penyerahan peralatan berkenaan, hari ini.
Hadir sama Duta Besar Jepun Shikata Noriyuki dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Beliau berkata peralatan pertahanan buatan Jepun berkenaan membabitkan kos sebanyak RM12.63 juta dan perjanjian penerimaan aset berkenaan dimeterai pada 2023 antara kerajaan Malaysia dengan Japan International Cooperation System (JICS). – Bernama


