Wednesday, October 23, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia terima banyak cadangan jadi agensi angkasa ASEAN

    KUALA LUMPUR, 29 JULAI – Malaysia menerima banyak cadangan dari negara-negara lain untuk menjadi agensi angkasa di rantau ASEAN, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sekurang-kurangnya lima atau enam negara meminta Malaysia menjadi pusat pelancaran satelit berkenaan walaupun penubuhan agensi angkasa itu masih dalam perancangan.

    “Kita (kerajaan) belum lagi pilih negeri atau tempatnya di mana (penubuhan agensi angkasa ini) tetapi kita akan bincang dengan kementerian dan agensi-agensi berkenaan sebelum dibawa ke Kabinet untuk kita realisasikan,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin tahu sama ada kerajaan akan membangkitkan tentang penubuhan agensi angkasa yang pernah dibincang sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) semasa menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.

    Pada LIMA tahun lepas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axelspace Japan, Nakamura Yuya berkata negara anggota ASEAN seharusnya bekerjasama menubuhkan agensi angkasa itu kerana ia mungkin membantu mengurangkan kos dan sumber yang sering menjadi antara halangan kepada sebarang pembangunan projek berkaitan angkasa. – Bernama

    Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada 29 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda