Thursday, April 24, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia terus dibayangi Vietnam

    KUALA LUMPUR, 30 OGOS – Skuad bola sepak Malaysia terus dibayangi pasukan Vietnam selepas diundi dalam Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 yang dijadual berlangsung bermula Disember depan.

    Pada majlis undian berlangsung secara maya di Bangkok, Thailand hari ini, skuad bimbingan Kim Pan Gon bakal bertembung dengan pasukan ‘Naga Emas’ yang juga lawan terkuat dalam kumpulan, untuk empat edisi berturut-turut di peringkat kumpulan sejak 2016.

    Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Vietnam yang muncul pasukan terbaik ASEAN ketika ini berada di ranking ke-97 dunia sementara skuad negara berada di kedudukan ke-148.

    Vietnam di bawah kendalian Park Hang-seo pernah mengecewakan Malaysia ketika dibimbing Tan Cheng Hoe, menyaksikan Malaysia tewas 2-3 secara agregat di pentas final Piala AFF 2018.

    Selain Malaysia dan Vietnam, turut diundi dalam kumpulan B adalah Singapura, Myanmar dan Laos. 

    Kumpulan A pula terdiri daripada juara bertahan Thailand, bersama Filipina, Indonesia, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste.

    Kesemua perlawanan dijalankan berdasarkan format penuh secara timbal balik, dan berlangsung pada 23 Dis ini hingga 15 Jan tahun depan.

    Malaysia hanya sekali memenangi saingan Piala AFF pada edisi 2010 sejak kejohanan dwitahunan itu bermula pada 1996 dan muncul naib juara pada 1996, 2014 dan 2018.

    Thailand muncul pasukan paling berjaya dengan enam kejuaraan (1996, 2000, 2002, 2014, 2016, 2020) diikuti Singapura dengan empat kejuaraan (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam  (2008 dan 2018). – Bernama

    Reaksi pemain Harimau Malaya meraikan gol semasa pertemuan menentang Bangladesh 14 Jun lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda