Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia terus jalin kerjasama antarabangsa jejak Jho Low

    KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Malaysia terus menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam usaha mengesan dan membawa pulang dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho atau Jho Low untuk menghadapi pertuduhan di negara ini.

    Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan hari ini, memaklumkan usaha itu dilaksanakan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang komited bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa.

    “Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah mengesahkan tiada bukti kukuh mengaitkan keberadaan Jho Low di China.

    “Justeru, Malaysia sedang bekerjasama erat dengan pihak agensi penguat kuasa undang-undang antarabangsa dalam usaha mengesan individu terbabit,” menurut kenyataan itu.

    JSJK juga memaklumkan sehingga kini, tiada bukti sahih mengaitkan Jho Low dengan penggunaan pasport palsu atau keberadaannya di Shanghai, China seperti didakwa dalam laporan media.

    Baru-baru ini, timbul dakwaan Jho Low kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu. – Bernama

    Jho Low menghadiri Angel Ball 2014 pada 20 Oktober 2014 di New York City. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda