KUALA LUMPUR, 24 DIS – Malaysia menyuarakan kekesalan dengan sikap dwistandard oleh sesetengah pihak dalam menangani nasib rakyat Palestin kerana sikap hipokrit dan dwistandard itu bukan sahaja menjejaskan prinsip asas undang-undang antarabangsa tetapi turut menyumbang kepada keganasan dan kekejaman.
“Sungguh tidak dapat difahami apabila sesetengah pihak terus bercakap mengenai hak asasi manusia, keadilan dan keamanan, namun menutup mata terhadap kekejaman yang berterusan ini,” kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin ketika menyampaikan kenyataan negara pada Persidangan Peringkat Tinggi Isu Palestin di Tehran, menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra), hari ini.
Persidangan yang berlangsung dari 22 hingga 25 Disember itu bertujuan membincangkan cabaran dan strategi penyelesai-an jangka masa panjang terhadap konflik berterusan di Gaza serta meneroka mekanisme berkesan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Anjuran Presiden Iran Seyed Ebrahim Raisi, persidangan itu dihadiri beberapa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara bukan anggota OIC.
Mohamad berkata jenayah yang dilakukan rejim Israel sekarang adalah kemuncak kekejaman dan dasar aparteid paling dahsyat rejim itu terhadap rakyat Palestin.
“Kita menyaksikan setiap hari, apa yang mungkin dikaitkan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Oleh itu, kita mesti menghantar mesej solidariti yang kuat kepada mangsa kekejaman Israel bahawa kemanusiaan akan ditegakkan dan keadilan akan diperjuangkan,” katanya.
Timbalan menteri itu juga berkata Malaysia menyambut baik penerimaan resolusi ‘Memantau dan Meningkatkan Bantuan ke Gaza’ oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Disember. – Bernama