Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia tetapkan caj ujian COVID-19

    PUTRAJAYA, 3 JULAI – Warganegara Malaysia dan warga asing kini akan dikenakan fi ujian pengesanan penyakit COVID-19 di pintu masuk negara dan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pengenaan fi itu adalah di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (COVID-19) 2020 yang berkuat kuasa pada 29 Jun. “Selaras dengan penguatkuasaan peraturan-peraturan itu, mana-mana warganegara atau orang asing yang memasuki Malaysia dari luar negara hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan COVID-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    “Mana-mana warganegara atau orang asing yang berada di Malaysia boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di mana-mana hospital kerajaan atau klinik KKM dan hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan COVID-19,” menurutnya. Bagi Jenis Ujian Pengesanan COVID-19: Tindak balas berantai polimerase; fi untuk warganegara ialah RM150, dan untuk warga asing RM250, manakala bagi Jenis Ujian Pengesanan COVID-19: Kit ujian pantas antigen, fi untuk warganegara ialah RM60, dan fi untuk warga asing RM120.

    Sementara itu bagi Jenis Ujian Pengesanan COVID-19: Kit ujian pantas antibodi fi untuk warganegara ialah RM30, manakala untuk warga asing RM60. Dr Adham berkata bagaimanapun warganegara Malaysia dalam kumpulan tertentu, seperti pegawai kerajaan, OKU dan pelajar adalah dikecualikan. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda