Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia tewas di tangan Hong Kong

    KUALA LUMPUR, 12 FEB – Skuad negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 dengan langkah kiri selepas tewas kepada Hong Kong 2-3 pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan B di Qingdao, China hari ini.

    Pada aksi di Pusat Sukan Qingdao Conson, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tidak berhasil memberikan mata pertama buat negara selepas tewas kepada Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dalam pertarungan tiga set 21-17, 17-21, 11-21 selama 49 minit.

    Perseorangan wanita, K Letshanaa yang menjadi sandaran negara seterusya berjaya mengikat kedudukan dengan Hong Kong apabila meraih kemenangan 21-18 dan 21-18 ke atas Saloni Samirbhai Mehta.

    Perseorangan lelaki, Justin Hoh bagaimanapun kecundang dalam aksi straight set berdepan Lee Cheuk Yiu 19-21, 16-21, sekali gus meletakkan Hong Kong kembali mendahului dengan kedudukan 2-1.

    Hasrat melihat Malaysia kembali mengikat kedudukan menerusi beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing kemudian tidak kesampaian, apabila tewas di tangan Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 17-21 dan 14-21.

    Pada perlawanan terakhir, satu lagi pasangan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun sedikit mengubat kekecewaan, apabila menyumbang kemenangan kedua negara dengan menewaskan Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai 21-13 dan 21-11.

    Malaysia kini berdepan misi wajib menang ke atas Indonesia yang juga musuh tradisi dalam aksi pelengkap Kumpulan B, esok. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda