KUALA LUMPUR, 7 FEB – Hasrat skuad hoki dalam dewan lelaki Malaysia melakar kemenangan sulung pada kempen Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia tidak kesampaian selepas tewas 2-6 kepada Argentina pada perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12 hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Zatika Sport Centre itu, skuad bimbingan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi terus hampa apabila kecundang buat kali kedua di tangan Argentina selepas pertemuan pada saingan peringkat Kumpulan B, Selasa lepas.
Pada aksi hari ini, Argentina membuka tirai jaringan pada minit terakhir suku pertama perlawanan menerusi penalti strok yang disempurnakan Joaquin Gonzalez.
Memasuki suku kedua permainan, Malaysia terus dihukum apabila Argentina memperoleh tiga jaringan padang masing-masing satu menerusi Gaston Rodriguez (minit ke-13), Facundo Navarro (ke-15) dan Santiago Moron (ke-16).
Rodriguez menjaringkan gol padang pada suku ketiga untuk menambah gol Argentina, sebelum Malaysia memecah kebuntuan hasil jaringan Muhammad Ashran Hamsani pada minit ke-25.
Pada suku terakhir, Muhammad Izham Azhar memanfaatkan sepenuhnya peluang ketiadaan seketika penjaga gol Argentina untuk meraih gol kedua Malaysia pada minit ke-39.
Berbaki 14 saat permainan, Argentina bagaimanapun melengkapkan perlawanan itu dengan gol keenam hasil jaringan Juan Eleicegui.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara bakal beraksi pada perlawanan penentuan tempat ke-11 dan ke-12. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P23-3-Sinar-Harian-web_08022025.jpg)