KUALA LUMPUR, 27 MEI – Malaysia dan Thailand telah bersetuju untuk mencegah ancaman bukan tradisional di sepanjang sempadan dengan memperkukuh maklumat tertutup dan pertukaran risikan antara agensi-agensi sempadan.
Perkara itu adalah antara resolusi yang ditetapkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am ke-55 antara Malaysia dan Thailand di sini semalam.
Menteri Pertahanan Malaysia dan Thailand dalam kenyataan bersama semalam berkata mesyuarat yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dari Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan, turut bersetuju untuk menambah baik keberkesanan operasi bersama sebagai satu kaedah membendung penularan jangkitan COVID-19.
“Malaysia dan Thailand juga bersepakat untuk memudahkan aktiviti rentas sempadan yang mengikut undang-undang untuk pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh komuniti kawasan sempadan.
“Kedua-dua negara juga akan membina komunikasi dengan pelantikan Pegawai Perhubungan bagi kesiapsiagaan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di sepanjang sempadan bersama,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat selama satu jam itu turut memutuskan untuk menganjurkan Joint Combined Exercise Committee Thailand-Malaysia (JCEC THAMAL) ke-4 dengan kemungkinan menjemput anggota ASEAN dan negara-negara sekutu sebagai pemerhati dan peserta. – Bernama
