Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Malaysia tidak akan alami kegawatan ekonomi 2023

    KUALA LUMPUR, 15 MAC – Kementerian Kewangan menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023 meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global.

    Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata takrifan kegawatan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.

    “Pada tahun ini, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus. Ini seiring dengan apa yang telah diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing-masing mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.4 peratus dan 4 peratus tahun ini.

    “Kerajaan akan terus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah kegawatan ekonomi pada 2023 untuk meminimumkan kesannya kepada rakyat Malaysia.

    Bagi menangani kesan kenaikan harga barangan keperluan asas, Sim berkata kerajaan akan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan juga pelbagai insentif dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM64 bilion.

    Selain itu, kerajaan juga melaksanakan program Menu Rahmah dan Jualan Rahmah di bawah agenda Payung Rahmah, meneruskan program penetapan harga siling serta penyeragaman harga bagi barangan keperluan asas tertentu, katanya. – Bernama

    Steven Sim Chee Keong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...