Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia tidak akan laksana PKP

    KUALA LUMPUR, 6 OKT – Malaysia tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini, sebaliknya menggunakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu (PKP) jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

    “Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes COVID-19 yang tinggi.

    “Dengan ini aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas, boleh diteruskan dengan amalan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 dari kediamannya, yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan dan laman sosial Facebook hari ini.

    Muhyiddin berkata beliau percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan, akan membolehkan negara  menangani penularan COVID-19 tanpa perlu menutup sektor-sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini.

    “Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa jua keputusan yang diambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat kita yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda